TAK JUMPA APA YANG DICARI? ISI CARIAN DIBAWAH ATAU KLIK IKON DITEPI HUBUNGI SEKARANG 0192653791

KENALI PEMBEKAL KAMBING ANDA

LAKSANAKAN AQIQAH PASTIKAN UMM BARAQAH

Pakej Kambing Aqiqah Siap Sembelih Lapah dan Hantar (Harga)

a) Kambing Feral 35 ~40kg -RM760

b) Kambing Boer 35-40kg RM760

c) Kambing Biri-biri 35-40kg RM760

Hubungi UMM BARAQAH 0192653791 atau SMS sahaja

Pakej Kambing Aqiqah

Friday, September 30, 2011

Teknologi pembiakan lembu

PEMBIAKAN dan Reproduksi Berbantu (Advanced Reproductive Biotechnology – ARB)meningkatkan kejayaan lembu bunting dan melahirkan anak kepada 90 peratus, berbanding 50 peratus jika dibiakkan secara semula jadi.
LADANG ternakan lembu milik Risda di Ulu Keratong, Rompin bukanlah tempat yang menyeronokkan untuk dikunjungi. Jalan masuk ke kawasan ternakan lembu itu yang diintegrasikan dengan ladang kelapa sawit dipenuhi batu-batu kerikil kecil, tidak diturap, banyak lubang dan berdebu.
Jika anda memandu ke ladang itu yang terletak di selatan Pahang dan berada kira-kira 50 kilometer dari bandar Segamat, Johor, kereta anda akan kotor, dan dalam keadaan cuaca panas sekarang, kalau anda membuka tingkap, muka anda akan menjadi kemerahan kerana debu.
Di ladang itu sedang berlaku satu aktiviti istimewa yang sedang diusahakan oleh Risda, sebuah agensi kerajaan di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar yang ditubuhkan 25 tahun lalu bagi menyelaraskan penanaman semula getah oleh para pekebun kecil.
Risda memelihara kira-kira 2,808 ekor lembu di ladang-ladang kelapa sawit di Ulu Keratong daripada keseluruhan 8,922 ekor lembu yang sedang diternak oleh agensi itu di seluruh negara.
Konsep ternakan lembu di Ulu Keratong kini menggunakan kaedah pembiakan moden dikenali sebagai Pembiakan dan Reproduksi Berbantu (Advanced Reproductive Biotechnology – ARB) yang dijangka akan merevolusikan bidang ternakan lembu di negara ini.
Kira-kira sepuluh tahun lalu, Risda mengenal pasti ternakan lembu sebagai kaedah terbaik untuk mengawal rumpai secara biologi di ladang-ladang kelapa sawit. Lembu-lembu yang diternak di ladang didapati telah mengurangkan kos merumput sehingga 20 peratus.
Lembu-lembu membantu mengatasi masalah kekurangan tenaga kerja di ladang-ladang dan pada masa yang sama menambah pendapatan kepada ladang melalui penjualan daging atau lembu hidup.
Bagaimanapun bermula pada Mei lalu, Risda dengan bantuan saintis-saintis dari Institut Penyelidikan dan Pembangunan Pertanian Malaysia (MARDI) telah memperkenalkan konsep ARB di ladang-ladang kelapa sawitnya.
Dr. Tengku Azmi Tengku Ibrahim, bekas profesor veterinari di Universiti Putra Malaysia (UPM) menjadi konsultan kepada projek itu. Projek tersebut beroperasi di bawah anak syarikat Risda, Estet Pekebun Kecil Sdn. Bhd. (Espek).
Dalam taklimatnya sempena lawatan Pengerusi Risda, Datuk Abu Zahar Nika Ujang ke ladang ternakan di Ulu Keratong pada 3 Mei lalu, Dr. Tengku Azmi berkata, masalah semasa pengeluaran lembu di Malaysia ialah populasi lembu yang kecil, prestasi pembiakan rendah, pengurusan dan pemakanan tidak ekonomik dan harga lembu yang meningkat.
Tahun lalu penduduk Malaysia memakan kira-kira 90,000 tan metrik daging lembu bernilai RM500 juta. ”Para penternak kita hanya berupaya memenuhi 20 peratus daripada keperluan tersebut,” kata Dr. Tengku Azmi.
Nilai jualan daging lembu di negara ini memperlihatkan betapa cerahnya prospek bidang ternakan.
Dr. Tengku Azmi, para pegawai Espek dan saintis-saintis MARDI mencadangkan Risda menggunakan pendekatan alternatif kepada pengeluaran lembu di negara ini dengan menggabungkan ternakan ranching di ladang kelapa sawit dengan konsep pembiakan ARB.
Melalui kaedah ini, lembu-lembu di ladang Risda akan diternak secara integrasi dan dibiakkan menggunakan semua kaedah pembiakan meliputi persamaan galak, permanian beradas, pemindahan embrio dan pengawanan semula jadi.
Dr. Abas Mazni Othman, penyelidik MARDI yang mengetuai kerja-kerja pembiakan lembu dalam projek itu, berkata: ”Jika lembu-lembu dibiarkan membiak secara semula jadi, peluang untuk lembu-lembu bunting hanya 50 peratus.”
Beliau memberitahu pemberita: ”Dengan menggunakan kaedah ARB, kemungkinan untuk lembu-lembu betina bunting dan melahirkan anak boleh mencapai 90 peratus.”
Ujian dan kajian ke atas lembu-lembu di makmal menunjukkan kaedah tersebut adalah efisien. Menurut Dr. Abas, projek Risda itu merupakan program bioteknologi ternakan ARB komersial yang pertama di Malaysia.
Di Ulu Keratong minggu lalu, sebanyak 136 ekor lembu betina di ladang kelapa sawit Risda dikumpulkan untuk menjalani pemeriksaan galak dan melalui apa yang dipanggil penyelarasan estrus.
Ini merupakan program ARB kedua di ladang ternak agensi itu selepas percubaan pertama di ladang Terengganu Tengah Mei lalu.
Pada bahagian sulit lembu-lembu betina terlebih dahulu dimasukkan sejenis kapsul yang dapat menyediakan lembu-lembu keadaan galak untuk dilakukan permanian beradas, pemindahan embrio dan mengawan.
Seorang pegawai kanan Jabatan Perkhidmatan Haiwan menimbulkan gelak ketawa semasa taklimat dengan menyamakan kapsul estrus itu dengan keupayaan pil Viagra yang dapat mengubati penyakit mati pucuk di kalangan lelaki.
Apabila Abu Zahar dan para pegawai Risda kemudian menyaksikan demonstrasi penyuntikan CIDR yang dilakukan oleh Dr. Abas ke atas lembu-lembu di ladang itu, mereka jelas tertarik dengan potensi program pembiakan ARB.
CIDR itu akan dibiarkan selama dua hari. Dua belas hari kemudian, Dr. Abas akan melakukan permanian beradas dengan menyuntik semen baka lembu jantan ke dalam uterus lembu-lembu betina.
Di Ulu Keratong minggu lalu, Dr. Abas dan pasukannya mengambil masa selama enam jam dari pukul 7 malam hingga 1 pagi untuk melakukan kerja-kerja penyelarasan estrus ke atas lembu-lembu betina.
Katanya, kira-kira 90 peratus lembu yang disuntik dengan air mani lembu jantan akan bunting.
Baki 10 peratus lembu betina yang tidak bunting akan dibiarkan bebas dalam kandang lembu-lembu jantan supaya pengawanan semula jadi berlaku.
Katanya: ”Langkah pembiakan bersepadu ini dilakukan supaya semua kaedah pembiakan dioptimumkan.”
Menurut Dr. Abas, waktu yang paling kritikal selepas permanian beradas ialah bulan pertama lembu-lembu itu bunting.
Pengguguran mudah berlaku. ”Jika tiada masalah dalam bulan pertama lembu-lembu itu bunting, biasanya sembilan bulan kemudian, lembu itu akan beranak,” katanya.
Lembu betina jarang melahirkan anak kembar. ”Seperti juga manusia, kebanyakan lembu hanya berupaya melahirkan seekor anak,” kata beliau lagi.
Pada peringkat permulaan projek dengan Risda, beliau hanya melakukan permanian beradas baka lembu jenis Charolis tetapi pada masa depan, saintis-saintis MARDI akan memperluaskan kaedah pembiakan di ladang-ladang Risda kepada pemindahan embrio.
Kata Dr. Abas: ”Teknologi yang kita gunakan sekarang juga berupaya menentukan jantina lembu-lembu yang akan dilahirkan. Ini akan kita lakukan pada masa depan.”
Pembiakan dengan teknologi itu akan memaksimumkan potensi reproduksi lembu, mempercepatkan pertambahan bilangan lembu dan membaiki kualiti gerompok lembu.
Dalam fasa kedua projek, para saintis MARDI dan Risda akan menghasilkan lembu-lembu kacukan dan baka tulen tenusu bagi membentuk gerompok lembu susu di ladang-ladang Risda.
Menurut Pengerusi Risda, Abu Zahar, pembiakan merupakan halangan utama industri ternakan lembu di Malaysia. Katanya, mengimport baka-baka lembu yang baik tidak lagi realistik memandangkan penurunan nilai ringgit sekarang.
Abu Zahar melalui anak syarikat Risda, Espek, menawarkan 4,000 ekor lembu betina untuk dibiakkan oleh Dr. Tengku Azmi dan Dr. Abas menggunakan pendekatan ARB.
Beliau percaya aktiviti Risda perlu dipelbagaikan menjelang pengkorporatan agensi tersebut.
Oleh kerana kawalan ternakan di ladang-ladang kelapa sawit menggunakan pagar letrik, tenaga kerja minimum digunakan iaitu tiga pekerja diperlukan untuk mengawal 1,000 ekor lembu.
Penternakan lembu-lembu di ladang-ladang kelapa sawit mempunyai kelebihan tersendiri.
Makanan lembu murah iaitu rumput asytasia, pengawalan lembu yang berkesan, bebas daripada penyakit, tahi-tahi lembu dapat digunakan untuk pembajaan tanaman dan persekitaran yang selesa.
Pelepah-pelepah kelapa sawit dan isirong kelapa sawit yang telah diproses juga boleh dijadikan makanan lembu.
”Pokok-pokok kelapa sawit meneduhkan ladang ternakan dan melindungi lembu-lembu daripada pancaran cahaya matahari. Lembu-lembu lebih produktif dalam keadaan teduh,” kata Dr. Tengku Azmi.
Atas faktor cuaca inilah, kesemua program permanian beradas di ladang-ladang Risda dilakukan pada waktu malam. Dr. Abas berkata, pensenyawaan benih lembu akan lebih mudah terjadi dalam keadaan suhu sejuk.
Projek pembiakan lembu menggunakan kaedah ini belum pernah dilakukan oleh para penternak komersial tempatan. Di Malaysia, para penternak hanya membiakkan lembu melalui proses pengawanan semula jadi.
Kebaikan pembiakan lembu melalui kaedah bantuan manusia ARB ialah anak-anak lembu akan dilahirkan serentak, kata Pengurus Jabatan Ternak Espek, Gopinathan Nambiar.
Jika 4,000 lembu betina menjalani program permainan beradas pada malam yang sama, hampir 4,000 ekor anak lembu akan dilahirkan serentak sembilan bulan kemudian.
Anak-anak lembu itu akan membesar dalam tempoh yang sama dan ini bagus untuk pemasaran.
Kamisran Ahmad, penolong pegawai ternakan Espek yang ditugaskan menguruskan lembu-lembu di Ulu Keratong pula berkata, lembu-lembu yang lahir serentak sudah pasti memudahkan pengurusan ladang.
Menurut beliau, menternak lembu di ladang kelapa sawit ada kelebihan dan kelemahan. ”Kelebihan ialah ia murah, tetapi lembu-lembu di ladang kelapa sawit selalu berada dalam keadaan stress.
”Setiap dua hari sekali kami perlu memberi lembu-lembu itu ubat antitekanan. Jika tidak diberi, lembu-lembu tidak bermaya, tiada selera untuk makan dan ini boleh membawa kepada kematian,” katanya.
Kata Kamisran, sungguhpun lembu-lembu itu boleh memakan pelepah dan daun kelapa sawit yang diproses, tetapi haiwan itu sebenarnya lebih sukakan rumput.
Kos bagi memelihara lembu yang dilahirkan menerusi proses semula jadi amat murah iaitu kira-kira RM60 seekor. Ini ialah kos keseluruhan sehingga lembu itu boleh dijual pada umur dua tahun. Kos ini termasuk ubat-ubatan lembu, makanan dan gaji para pekerja.
Purata harga jualan seekor lembu dewasa ialah RM1,000 seekor. Bagaimanapun, di bawah program permanian beradas, kos membiakkan seekor anak lembu adalah lebih mahal, dianggarkan sekitar RM260 seekor – iaitu termasuk RM200 untuk kos permanian beradas dan tambahan RM60 untuk membesarkan lembu itu.
”Memang lebih mahal tetapi oleh kerana lembu-lembu yang dibiakkan melalui program ARB terdiri daripada baka berkualiti, lembu itu lebih bernilai apabila dijual kelak,” kata Kamisran.
Saintis-saintis MARDI seperti Dr. Abas dan konsultan veterinari seperti Dr. Tengku Azmi telah membuktikan dalam kajian mereka di makmal-makmal bahawa pembiakan melalui cara bantuan manusia menyediakan prospek yang lebih baik bagi bidang ternakan lembu di negara ini.
Melalui kerjasama dengan Risda yang baru bermula, kepakaran mereka kini menghadapi ujian sebenar.
Abu Zahar percaya prospek keuntungan projek pembiakan lembu ARB amat menggalakkan. Pada sidang akhbar di Ulu Keratong minggu lalu, beliau berkata, Risda akan mengintegrasikan lebih banyak mini estet, kebun tanam semula serentak dan tanam semula berkelompok dengan ternakan lembu.
Dalam tempoh lima tahun akan datang, beliau membayangkan Risda akan menceburkan diri dalam aktiviti hiliran ternakan lembu bermula daripada penyembelihan, pemerosesan makanan, daging hinggalah kepada pemasaran.
Dalam konteks kegawatan ekonomi sekarang, rancangan-rancangan ke arah mengurangkan import menjadi trend semua orang. Adakah kesungguhan Risda untuk menternak lembu bagi mengurangkan pergantungan import juga bersifat sementara?
Tidak, kata Abu Zahar. ”Kami komited dengan usaha ini.”

No comments:

Post a Comment

About This Blog

  • Lembu Kacukan Komersial dari Australia (Australian Commercial Crosses)

Lembu ini dihasilkan di Australia, hasil kacukan berbagai jenis lembu pedaging. Antara jenis-jenis yang terlibat ialah Brahman, Shorthorn dan Hereford. Lembu-lembu jantan muda dari baka ini mudah didapati dengan bilangan yang banyak, dan harga yang berpatutan.

  • Lembu Kacukan Friesian Sahiwal (Mafriwal)

Baka lembu ini berwarna hitam kemerahan. Hasil kacukan antara betina jenis Friesian dan jantan jenis Sahiwal, dihasilkan di New Zealand dan Australia untuk dipelihara di Malaysia. Ia merupakan jenis duaguna yang sesuai bagi Malaysia.

Lembu ini boleh mengeluarkan susu 1,500-2,000 kg. Purata berat anak lembu semasa lahir 24 kg. dan berat matang ialah 360 kg. Purata kenaikan berat badan dalam lingkungan 0.37 kg. sehari.

  • Lembu Droughtmaster

Hasil kacukan lembu Brahman dengan lembu Shorthorn, berasal dari Utara Australia. Jenis lembu daging yang sesuai dengan negara tropika ini berwarna cokelat atau merah gelap. Matang bila mencapai umur purata 630 hari. Purata umur ketika beranak pertama ialah 918 hari. Berat mencapai lebih kurang 330 kg. apabila mencapai umur 2 tahun.

  • Lembu Kacukan Pedaging K-K

Baka lembu ini dihasilkan dari kacukan lembu betina baka KK dengan baka-baka pedaging seperti Hereford, Charolais, Droughtmaster, Brahman dan Simmental. Pengkacukan tersebut dibuat dengan cara permanian beradas menggunakan air mani beku dari baka-baka pejantan bermutu yang diimport.

  • Lembu Kedah Kelantan (K-K)

Baka lembu tempatan yang amat sesuai di negara ini kerana sifatnya yang tahan jangkitan penyakit. Ia berbadan pejal dan mempunyai berbagai warna seperti perang hitam, cokelat atau kekuningan. Anak yang dilahirkan adalah kira-kira 14- 16 kg. Kenaikan berat badan kira-kira 0.4 kg. sehari sehingga mencapai umur 2 tahun dan berat matang adalah antara 200 - 250 kg. Daging dihasilkan kira-kira 45% daripada berat badan.

  • Lembu Brahman

Berasal dari India dan ditingkatkan mutunya di Amerika. Berat matang lebih kurang 520 kg. bagi betina, jantan mencapai 700-900 kg. Biasanya berwarna putih, mempunyai bonggol (hump) di belakang. Sesuai untuk kerja-kerja kasar dan boleh tahan cuaca panas. Menghasilkan daging yang bermutu dan banyak (400-450 kg.). Anak dilahirkan kira-kira 22-27 kg. tetapi cepat membesar.

  • Lembu Local Indian Dairy (L.l.D.)

Campuran jenis-jenis Kangayan x Hallikar x Ongole daripada India. Dianggap jenis tempatan, kerana ada yang bercampur dengan darah lembu KK. Jenis susu yang boleh juga disesuaikan dengan lembu daging. Lembu baka ini berwarna di antara keputihan kepada kehitaman dan kekuningan kepada cokelat gelap. Boleh hidup dalam keadaan rumput sederhana. Tahan kutu dan jangkitan penyakit. Berat matang ialah 280 kg. Anak yang dilahirkan ialah di antara 18- 20 kg. beratnya.

Jabatan Perkhidmatan Veterinar, MOA, Malaysia

Lorem Ipsum

Ternakan lembu pedaging di Malaysia menjanjikan pulangan yang tinggi kepada pelabur kerana penggunaan daging lembu negara semakin meningkat, manakala bekalan masih tidak mencukupi.

Sektor ini juga mendapat pelbagai sokongan institusi seperti perkhidmatan veterinar yang padu, industri pemprosesan yang kukuh, serta kemudahan perkhidmatan proses penyembelihan, dan bekalan bahan makanan lembu yang
mudah didapati.

Populasi lembu pedaging di Malaysia sehingga tahun 2000 ialah 875,934 ekor. Sebanyak 90% daripada jumlah ini diternak secara tradisional. Pertumbuhan tahunan bagi bilangan ini ialah 2% setahun daripada tahun 1994 hingga 2000.

Kadar saradiri bagi tahun 2001 pula ialah 21.14 ribu tan.
Diunjurkan bilangan lembu pedaging di Malaysia akan meningkat kepada 2.094 juta ekor pada tahun 2010, dengan kadar saradiri sebanyak 67.89 ribu tan.

Penggunaan daging negara bagi tahun 2000 adalah sebanyak 95.1 ribu tan, dengan kadar peningkatan sebanyak 5.4% setahun. Penggunaan per kapita juga naik sebanyak 3.47 kg kepada 5.27 kg, daripada tahun 1991 ke tahun 2000.

Disclaimer (Penafian)

Kami amat mengalu-alukan pertanyaan saudara saudari sekalian,

Anda boleh hubungi kami di talian 0173047278 FAIZAL atau 0192653791 AZMI

Bagi tempahan KAMBING GOLEK, AQIQAH dan KATERING Sila layari

http://kambinghalal.blogspot.com

  © Blogger templates Palm by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP