T'Cafe di setiap negeri 2012
MARANG 16 Ogos – Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) merancang mengembang operasi rangkaian restoran francais jenama T’Cafe dengan membuka cawangannya di setiap negeri bermula awal tahun hadapan.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Mohamed Awang Tera berkata, T’Cafe yang membawa imej masakan tradisional Terengganu menunjukkan peningkatan hasil jualan yang memberangsangkan.
Menurutnya, berdasarkan hasil jualan setengah tahun pertama di empat cawangan cafe itu, T’Cafe D’Muara, Losong mencatatkan jualan bulanan tertinggi iaitu sebanyak RM112,000 dan Medan Selera Pasar Raya Giant, Kuala Terengganu mencatatkan RM85,000.
“Cawangan T’Cafe di Gong Kemuntung, Besut dan Geliga, Kemaman masing-masing mencatatkan hasil jualan bulanan tertinggi sebanyak RM28,000 dan RM24,000.
“Untuk memperluaskan rangkaiannya, YPU komited untuk melatih dan menjalinkan kerjasama dengan usahawan tempatan yang berwibawa serta berpengalaman bagi membawa ikon baru bagi Terengganu dalam pelancongan berasaskan makanan,” katanya.
Beliau yang juga Pengerusi YPU berkata demikian pada majlis berbuka puasa sempena pelancaran penjenamaan semula T’Cafe Pantai Peranginan Kelulut, dekat sini, petang semalam.
Cawangan kelima cafe itu dibuka hasil kerjasama YPU dengan syarikat penternak dan pembekal ternakan kambing tempatan, Cosmopal Sdn. Bhd. bagi menyediakan masakan berasaskan daging dan susu kambing.
No comments:
Post a Comment