Timur: Fidaf labur RM17j ternak lembu berteknologi tinggi
Oleh Ainal Marhaton Abd Ghani - Berita Harian Online 29/4/08TPERUSAHAAN: 300 ekor lembu baka Jersey diternak oleh First Diary farm di Jlan Kuantan-Segamat dekat Muadzam Shah.PROSES PEMINDAHAN: Lembu baka Jersey berupaya
menghasilkan susu berkualiti tinggi.
ROMPIN: Pahang bakal muncul sebagai pengeluar susu lembu terbesar di negara ini, menerusi projek ternakan lembu berteknologi tinggi bernilai RM50 juta yang diusahakan syarikat Bumiputera, First Dairy Farm (M) Sdn Bhd (Fidaf).
Sebagai permulaan, Fidaf melabur RM17 juta dalam fasa pertama projek itu termasuk membeli 300 lembu baka Jersey berharga RM4 juta, membina infrastruktur asas dan prasarana lengkap seperti rumah pekerja, pejabat, stor menyimpan makanan ternakan, seliaan jentera dan mesin berteknologi tinggi.
Pengarah Urusannya, Muhammad Alwi Abdullah, berkata projek tenusu Fidaf dirancang mengikut empat fasa pembangunan dengan setiap fasa mengandungi 300 lembu, tiga kandang berhawa dingin berkonsepkan `free stall barn', dua kandang penjagaan dan dua kandang dikhususkan untuk anak lembu, selain sebuah bangunan pemerahan susu.
Beliau berkata, mengikut konsep ternakan itu, pihaknya mensasarkan mengeluarkan susu segar berjumlah antara 19,000 hingga 22,000 liter sehari.
Katanya, paling menarik, Fidaf turut melakukan pembaharuan dalam dunia penternakan yang dijangka menjadi contoh usahawan industri penternakan dan pertanian di Malaysia, apabila memperdengarkan alunan bacaan al-Quran dalam setiap kandang sebagai persediaan menghasilkan susu terbaik.
"Susu sangat penting untuk bayi dan kanak-kanak bagi pertumbuhan fizikal dan mental mereka supaya lebih sihat dan kita harap, kaedah ini menyumbang ke arah kesihatan yang lebih sempurna.
"Di sudut psikologi, bacaan al-Quran menenangkan jiwa dan haiwan juga sensitif dengan bunyi-bunyian.
"Setakat ini, kami sudah memperdengarkan alunan bacaan al-Quran sehingga 30 juzuk setiap hari di kandang berkenaan," katanya di sini semalam.
Malah, katanya, atas dasar ingin mencuba sesuatu yang baru, beliau pernah mengutus surat kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada usia 13 tahun menyatakan hasratnya membuka ladang tenusu.
"Selama 10 tahun, saya membuat penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam industri tenusu negara dan pengurusan perladangan tenusu berorientasikan teknologi, sebelum merealisasikannya pada 1 September tahun lalu.
"Kebanyakan ladang penternakan di negara ini tidak mempunyai sistem pemakanan yang betul dan seimbang, program pembiakan dan pembakaan yang teratur selain kebersihan dan kawalan penyakit yang lebih sistematik dan tidak mengamalkan polisi `Good Animal Husbandary Practices'.
"Sebab itu, Fidaf sedia menggalas cabaran negara dalam penyediaan sistem pemasaran dan penghantaran lebih bersistematik sebagai jaminan produk tenusu sampai kepada pengguna dalam keadaan selamat dan berkualiti," katanya.
Berkelulusan Sarjana Pengurusan Perniagaan dari Universiti Vancouver, Kanada, Muhammad Alwi, berkata pelaksanaan projek itu mendapat kerjasama Agro Bank yang menyalur pinjaman berjumlah RM10 juta sebagai modal permulaan dan dijangka menambah nilai pinjaman sehingga RM15 juta bagi fasa seterusnya sebaik saja pelaburan fasa pertama berjaya menepati sasaran.
"Semua lembu berusia antara 22 hingga 28 bulan itu kini sedang bunting sulung selepas melalui proses permanian berhadas di ladang asalnya di Australia dan dijangka beranak sekitar Jun dan Julai depan.
"Penternakan di sini menggunakan konsep berbeza kerana kami menyesuaikan keadaan cuaca dan persekitaran dengan haiwan dan bukan sebaliknya.
"Ini bermakna, ternakan dibiar menetap dalam kandang dan hanya keluar untuk menjalani proses pemerahan susu dalam bangunan disediakan," katanya.
Katanya, setiap kandang mempunyai suhu antara 20 hingga 24 darjah Celsius yang akan dipantau takat suhunya dari semasa ke semasa.
"Kandang ini mempunyai ciri keselamatan canggih kerana dilengkapi pintu kecemasan automatik yang terbuka jika berlaku gangguan bekalan elektrik.
"Untuk pemakanan, Fidaf memperuntukkan kawasan seluas 160 hektar sebagai kawasan penanaman rumput jenis bracharia daripada spesies 'rozizensis' untuk dibuat silaj yang menjadi makanan terbaik lembu tenusu.
"Rumput kering dan makanan tambahan juga turut diberi kepada lembu bagi memastikan penghasilan susu berkualiti tinggi," katanya.
Muhammad Alwi berkata, lembu ternakannya menjalani proses pemerahan susu dua kali sehari menggunakan mesin diimport dari Waikato Milking System, New Zealand.
Beliau berkata, masa sejam diambil untuk memerah 300 ekor lembu menerusi sistem pemerahan susu dikenali sebagai `Rotary Milking System'.
"Lembu baka Jersey menghasilkan susu berkualiti tinggi kerana kadar proteinnya 20 peratus lebih tinggi berbanding lembu lain dan lembu ini juga adalah spesies yang jinak," katanya.
FAKTA: Lembu berteknologi tinggi
No comments:
Post a Comment