Ladang kambing dalam taman
MELIHAT laluan masuknya yang ditanam pelbagai jenis tumbuhan berbunga, kolam buatan dipenuhi ikan hiasan dan binaan landskap indah, anda pasti tidak percaya jika dikatakan ia adalah ladang ternakan kambing.
Realitinya, kawasan seluas 75 ekar lengkap dengan pemandangan seperti persekitaran sebuah resort di Kampung Serting Ilir, Negeri Sembilan itu adalah ladang ternakan kambing.
Ia memang cukup unik dan berbeza daripada ladang-ladang komersial lain.
Mengetengahkan konsep ladang dalam taman, pusat ternakan kambing baka Boer yang dikenali sebagai Ladang BoDen itu mula diusahakan sejak penghujung tahun 2006 dengan membawa pendekatan pengurusan ladang secara korporat.
Bercerita mengenai bagaimana nama BoDen diperolehi, Ketua Eksekutif ladang berkenaan, Zainal Abd. Ghani memberitahu, ia merupakan akronim kepada perkataan 'Boer eden' yang dituturkan dalam bahasa minang membawa maksud 'Boer kepunyaan saya'.
''Saya memilih menternak Boer kerana baka ini mempunyai tumbesaran cepat selain dagingnya lembut, tidak hamis dan berkolestrol rendah.
''Bagi mencipta suasana ladang ternakan dalam taman pula, lebih 2,200 pokok hiasan ditanam di sekitar kawasan kandang. Hampir 90 peratus daripadanya boleh dijadikan sebagai makanan kambing.
''Ia termasuk pokok malberi, pokok bunga raya, petai belalang dan bermacam-macam lagi,'' katanya ketika ditemui di ladangnya baru-baru ini.
Mengulas lanjut mengenai pendekatan penternakan pula, Zainal memberitahu, ladangnya menggunakan sistem penjagaan secara pengkhususan kandang dengan dibantu sembilan kakitangan.
Ia terbahagi kepada kandang A (pembesaran), kandang B (bunting), kandang M (bersalin), kandang C (cerai susu) dan kandang D (pengagihan).
Di kandang A, kambingkambing yang baru tiba atau baru dilahirkan akan menjalani proses tumbesaran sebagai persediaan memasuki fasa bunting.
Untung kandang B, kambing betina yang berusia sembilan bulan dan jantan berumur setahun dua bulan akan diletakkan bersama untuk proses pembuntingan selama empat bulan.
Kemudian, setiap kambing betina bunting akan diasingkan ke kandang M yang berbentuk petak-petak kecil selama enam minggu dengan diberi penjagaan dan makanan lebih kerap.
Selepas proses beranak, anak-anak kambing akan dibiarkan di dalam kandang selama tiga minggu supaya serasi bersama ibunya di samping menjalani pemantauan kesihatan dan pemberian vaksin.
Bagi memudahkan pengecaman, anak-anak kambing akan dilabel dengan tag berwarna sebagai mewakili tahun kelahiran serta nombor ganjil untuk jantan dan genap untuk betina.
Peringkat seterusnya merupakan proses ceraian susu yang berlaku di kandang C.
''Apa yang menarik, pada peringkat ini anak-anak kambing akan dilepaskan ke kawasan padang rumput untuk tujuan mengurangkan tekanan, membentuk rangka badan dan otot serta memberi pendedahan kepada cahaya matahari.
''Akhir sekali, selepas tempoh tiga bulan, kambing-kambing ini akan dipindahkan pula ke kandang D bagi tujuan pengasingan sama ada disimpan sebagai baka atau dijual sebagai pedaging,'' jelas bapa kepada dua orang anak itu.
Kambing-kambing yang telah dipilih untuk tujuan biak baka kemudiannya akan dimasukkan ke kandang A untuk memulakan semula proses pembesaran.
No comments:
Post a Comment