Mengurus sistem ternakan
INDUSTRI penternakan yang kini masih belum mencapai tahap sara diri wajar terus diberi suntikan teknologi. Ia supaya dapat membantu perkembangannya sejajar dengan hasrat kerajaan untuk menjana ekonomi negara menerusi pertanian.Bagaimanapun hasrat ke arah itu masih belum memuaskan. Dengan kata lain, banyak kerja perlu dilakukan untuk menjadikan industri penternakan lebih berdaya maju dan mencapai tahap sara diri (SSL).
Penggunaan bioteknologi sebagai contoh dalam pembiakbakaan, penghasilan makanan ternakan yang lebih murah dan ekonomik, teknologi penternakan yang lebih sesuai dan berskala besar antara yang telah digunakan selama ini. Semuanya selari dengan hasrat menjadikan industri terbabit berdaya maju.
Bertitik tolak daripada hasrat tersebut, seorang penyelidik dari Jabatan Sains Haiwan, Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM) baru-baru ini tampil dengan model perisian teknologi baru yang boleh dimanfaatkan untuk menganggar aliran nutrien dan jumlah sisa ternakan dalam pengurusan baja haiwan ternakan.
Teknologi tersebut, Perisian Model Pengeluaran Baja Lembu Pedaging yang berjaya dibangunkan oleh Dr. Tee Tuan Poy dengan menggunakan pendekatan atau konsep imbangan nutrient (nutrients balance : Input > Output).
Ia menganggarkan nutrien (N, P, K) mengalir daripada sistem pengeluaran lembu melalui perumahan lembu dan pengurusan baja, dan akhirnya ke sistem pengkomposan baja.
Perisian berkenaan mengandungi dua model iaitu Sistem pengeluarn dan perumahan dan juga sistem pengendalian baja .
Bercakap pada satu sidang akhbar di Serdang baru-baru ini, beliau menjelaskan, sistem pengeluaran intensif fidlot (sistem kurungan) cenderung untuk menghasilkan baja dalam jumlah yang besar.
''Jika baja diuruskan di bawah pengurusan yang lemah sebagai amalan biasa, ia akan mewujudkan pencemaran alam sekitar.
''Bagaimanapun, baja ini boleh diurus dan digunakan sebagai satu sumber organik untuk kegunaan tanah bagi tujuan penanaman," ujarnya.
Oleh itu, apabila menggunakannya sebagai baja organik, kandungan nutrien dalam baja adalah perkara yang perlu diberi perhatian.
Kata beliau, aliran nutrien berkenaan boleh ditentukan berdasarkan konsep imbangan jisim dalam kitaran nutrien.
Akibatnya, satu model ke atas aliran nutrien ini telah dibangunkan sebagai satu alat.
Model sistem tersebut telah dibangunkan menggunakan aplikasi perisianVisual Basic Application.
Model tersebut kemudiannya boleh digunakan untuk menguruskan dan menganggar jumlah dan kandungan nutrien baja untuk fidlot lembu.
Katanya sistem model yang digunakan berdasarkan proses, Visual Basic Application, Excel, kajian eksperimen bagi mendapatkan data penentukuran dan validasi.
Teknologi tersebut mempunyai banyak kelebihan iaitu menyediakan satu sistem alat yang mudah kepada pengguna, dan dapat menganggarkan nutrien yang boleh didapati dan kehilangan nutrien melalui pemeruapan ammonia dan kehilangan ke dalam ekosistem.
Selain itu, ia boleh menyediakan nilai nutrien untuk agronomi, ekonomi dan berkaitan aspek alam sekitar dan menyediakan satu pendekatan area-wide integrated untuk pengeluaran ternakan dan pengurusan sisa.
Projek penyelidikan tersebut yang bermula pada 2008 dan siap tahun lepas dibantu oleh Anna Renly dibiayai menerusi Skim Geran Fundamental, Kementerian Pengajian Tinggi.
Beliau berkata, teknologi tersebut telah dipatenkan pada Januari 2011.
Bercerita lebih lanjut sama ia sistem tersebut boleh dikomersialkan, beliau menjelaskan, kajian pembangunan lanjut model tersebut perlu dijalankan untuk menyediakan versi yang lebih maju.
Sekiranya berjaya dikomersialkan , teknologi tersebut boleh digunakan dalam sektor awam khususnya Jabatan Perkhidmatan Veterinar, (JPV) Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta Jabatan Alam Sekitar untuk memantau nutrien baja yang masuk ke dalam ekosistem dan memantau pencemaran.
Begitu juga bagi perkhidmatan pengembangan kepada penternak sebagai satu alat pendidikan serta institusi seperti sekolah, universiti dan agensi pengembangan yang berkaitan.
Bagi sektor swasta, penternak boleh menggunakannya untuk membantu dalam pengurusan baja bagi sistem pengeluaran ternakan mereka.
''Peladang pula boleh menggunakannya untuk menganggar nilai penggunaan nutrien dalam sistem penanaman mereka," ujarnya.
Selain itu, pertanian dan organisasi penjagaan alam sekitar boleh menggunakannya sebagai alat untuk tujuan pemantauan dan penyelidikan.
Kelebihan model
l Dapat menjejaki laluan nutrien dan jumlah output baja.
l Dapat menganggarkan kandungan aliran nitrogen (N) dalam keadaan organik N and inorganik N, fosforus (P) dan potassium (K) berdasarkan makanan haiwan, kelas haiwan (umur) dan kaedah pengurusan sisa (pengkomposan).
l Menganggarkan potensi kehilangan nutrien ke dalam persekitaran.
Sasaran pengguna
l Penternak
l Peladang sayur-sayuran
l Pegawai kerajaan
l Pelajar.
Pengiktirafan yang diterima
l Pingat emas dalam Pameran BioMalaysia 2011.
l Pingat gangsa Pameran Reka Cipta, Penyelidikan dan Inovasi UPM.
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=1226&pub=utusan_malaysia&sec=Sains_%26_Teknologi&pg=st_02.htm&arc=hive
No comments:
Post a Comment