Tarikh : November 10, 2011
Sudah dua tahun masjid tersebut tidak ada acara korban. Kali terakhir kerja menyembelih, melapah dan mengagihkan daging korban di masjid itu ialah tiga tahun lalu. Sebuah parti politik menaja seekor lembu untuk dikorbankan.
Hairan dan menyedihkan, jika tiada tajaan lembu dari mana-mana pihak, hari Raya Haji berlalu begitu sahaja tanpa sembelihan. Ini bukan soal penduduk kampung tidak berduit dan tidak mampu. Ini soal orang kita tidak menghiraukan lagi amalan sunat yang amat diberatkan itu.
Setengah abad lalu, ketika zaman kanak-kanak, surau (waktu itu belum ada masjid besar) kampung saya boleh dikatakan setiap tahun ada korban lembu atau kerbau. Walaupun dalam keadaan serba susah, penduduk berkongsi seekor haiwan untuk melakukan amalan yang dituntut itu.
Walau hanya seekor yang ditumbangkan, ia meriah bagaikan satu pesta. Kemeriahan itu sudah terasa sehari dua sebelum Aidiladha, apabila orang kampung melihat seekor lembu ditambat di halaman surau. Haiwan itu menjadi tontonan dan percakapan orang yang bersembahyang di surau kecil atap rumbia itu.
Setelah solat sunat raya pagi itu, semua jemaah berkumpul di halaman surau untuk menyaksikan sembelihan. Ada anak-anak yang memeluk orang tua sebab tidak berani melihat darah yang menyembur dari haiwan yang disembelih.
Kerja-kerja melapah dilakukan secara bergotong-royong. Sambil melapah mereka bergurau, mengakrabkan lagi silaturahim. Tulang lembu akan dimasak sup untuk makan tengah hari semua penduduk yang hadir. Meriah sekali.
Sayang sekali, kemeriahan itu tidak wujud lagi sekarang. Meski surau buruk telah lama diganti dengan masjid besar, dan penduduk semakin ramai, keseronokan berkorban pada Raja Haji sudah tidak ada.
Walaupun ramai yang makan gaji, pendapatan kebun pun semakin meningkat, tidak ada yang sudi berkongsi lembu atau kerbau untuk melakukan korban. Maka, pagi Adiladha yang mulia itu berlalu begitu sahaja, dan orang lebih suka menonton rancangan-rancangan TV yang menghiburkan daripada melapah sembelihan di masjid.
Korban hanya dilakukan sekiranya ada parti politik, atau orang besar – ketua parti, wakil rakyat, Menteri Besar, Menteri, Tok Ketua – menaja lembu. Tanpa tajaan orang tidak berkorban. Orang pun tidak hairan lagi daging lembu, sebab mereka sudah mewah dan hari-hari boleh makan daging.
Sebenarnya apa yang terjadi di kampung saya, terjadi juga di tempat lain. Banyak kawasan perumahan dan masjid, termasuk di bandar, menunggu ternakan dari penaja untuk melakukan korban.
Sebab itulah pemimpin-pemimpin parti dan wakil-wakil rakyat berbelanja besar menaja berpuluh-puluh ekor lembu untuk diagih-agihkan kepada masjid dan surau kawasan masing-masing. Sudah menjadi amalan Menteri Besar setiap negeri mendermakan lembu korban kepada rakyat.
Tidak timbul langsung soalan dari mana mereka mendapat wang begitu banyak untuk menderma lembu. Mungkin duit mereka sendiri, boleh jadi juga derma dari tokoh-tokoh korporat, mungkin juga dari sumber-sumber lain.
Pernah terjadi tidak lama dulu berpuluh ekor lembu seorang Menteri Besar yang hendak didermakan sebagai korban, tiba-tiba lenyap dikebas orang. Lembu korban pun dia orang berani curi!
Tidak ada salahnya menaja atau menderma haiwan korban itu. Lagi banyak yang didermakan lagi bagus, lebih-lebih lagi sekiranya diagihkan kepada kawasan-kawasan yang penduduknya betul-betul memerlukan. Cuma dengan tajaan seperti itu menjadikan orang ramai tidak mahu mengeluarkan duit sendiri melakukan korban.
Sebenarnya kalau ada perancangan awal, setiap orang boleh melakukan korban, walaupun satu bahagian. Rata-rata satu bahagian korban kini berharga RM350. Sekiranya mulai sekarang kita menyimpan hanya RM30 sebulan, kita boleh mengambil satu bahagian korban pada Raja Haji tahun hadapan.
Ada pun RM30 itu sama nilainya dengan tambahan kredit (top up) untuk telefon bimbit. Kalau setiap bulan kita mampu – dan dengan rela! – menokok kredit untuk bertonyeh dan SMS, apa salahnya simpan RM30 juga untuk satu bahagian korban tahun depan.
Sejak sekian lama orang kita sudah ditaja dalam banyak hal, sehinggakan anak hendak berkhatan pun minta duit wakil rakyat. Janganlah hendak beramal ibadat pun perlu bantuan kerajaan. Malu kita.
No comments:
Post a Comment