Felda Chuping jadi ladang ternak lembu Link Asal
Berita Harian, 10 Dis 2003
Katanya, selain itu program berkenaan juga selaras saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya peneroka Felda dapat mempelbagaikan sumber pendapatan dan tidak hanya bergantung kepada sumber sekarang.
Peneroka terbabit perlu menjadi peneroka zaman baru dengan membabitkan diri dalam industri kecil dan sederhana (IKS) berasaskan pertanian.
Yusof berkata, langkah itu juga sebagai menyahut seruan kerajaan supaya Felda terbabit dalam bidang ternakan secara lebih besar lagi.
“Walaupun jumlah ternakan yang diusahakan syarikat di bawah Felda di seluruh negara dikira terbesar di negara ini tapi kita nak besarkan lagi dengan penternakan di Perlis,” katanya pada majlis sambutan Aidilfitri di Dewan Perdana Felda, di sini, semalam.
Beliau berkata, sebagai permulaan 500 hingga 1,000 lembu akan dibeli dari beberapa negara untuk projek itu yang dimulakan Julai depan.
Katanya, kegiatan tambahan itu sebahagian usaha agensi terbabit untuk memastikan pendapatan penerokanya kekal pada tahap memuaskan, iaitu sekurang-kurangnya RM1,000 sebulan.
Yusof juga berkata selain program berkenaan, Felda sedang mengenal pasti beberapa kawasan tanah yang terbiar untuk dimajukan dengan pertanian pelbagai.
“Kawasan terbabit sebelum ini tidak dapat dimajukan kerana berlumpur serta berpaya dan tidak ekonomi untuk tujuan pertanian. Tapi kini tanah berkenaan mungkin sudah berubah dan kita sedang kaji untuk dimajukan,” katanya.
Mengenai penyenaraian Felda Holdings ke Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL), Yusof berkata, pihaknya masih menunggu keputusan Kabinet sebelum membuat sebarang pengumuman kepada peneroka.
No comments:
Post a Comment