Ternakan kambing boer mampu jana pendapatan
|
|
MUAR 7 Julai – Selain mengusahakan tanaman cendawan tiram kelabu, Rashid Elias, 38, turut mengusahakan ternakan kambing boer yang pada asalnya bermula dengan sejumlah 24 ekor tetapi kini meningkat kepada lebih 50 ekor.
Menurutnya, kambing boer yang berasal dari Australia itu diternak bagi mendapatkan baka serta dagingnya dijual kepada penternak-penternak tempatan di daerah ini.
Bagi memastikan projek ternakan itu membuahkan hasil yang lumayan, Rashid sanggup membina sebuah bangsal khas dengan modal sebanyak RM50,000, bersebelahan rumah projek tanaman cendawan tiram beliau.
“Saya tidak senang duduk apabila hanya menjalankan satu kerja dan mendapati ternakan kambing boer juga memberikan peluang pendapatan yang secara tidak langsung mampu menjana ekonomi diri dan syarikat,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
Kelebihan menternak kambing boer ialah permintaan terhadap dagingnya tinggi kerana ia kurang mengandungi bahan kolestrol berbanding kambing jenis lain manakala proses tumbesaran ternakan itu pula agak cepat.
Menurutnya, setiap baka kambing boer itu mula dijual seawal usianya empat bulan, manakala tempoh jangka hayat haiwan ternakan itu pula antara empat hingga lima tahun.
Meskipun perlu berbelanja agak besar bagi proses penjagaan haiwan ini termasuk makanan yang terpilih serta rawatan suntikan khas setiap tahun, kambing boer pernah diberi sokongan oleh kerajaan agar ia diternak secara meluas di negara ini.
“Baka kambing ini saya peroleh menerusi kenalan di Australia dan dia banyak membantu saya mengimport haiwan ini yang dikategorikan sebagai berdarah penuh atau baka jati boer,” jelasnya.
No comments:
Post a Comment