Tarikh : December 16, 2011
Penternak lembu, P Balachander, 47, berkata, dalam tempoh sebulan sahaja, sudah tiga ekor lembu peliharaannya menjadi mangsa sumpitan kumpulan sindiket yang datang mencuri lembunya sekitar awal pagi.
Menurutnya, pada Jumaat lepas, dia terkejut menemui kesan darah dan alat suntikan dipercayai ubat pelali di depan pagar kandang lembunya.
“Saya difahamkan kumpulan sindiket berkenaan menggunakan kereta jenis Nazaria dan Proton Iswara bagi membawa lembu sasaran mereka.
“Malah, ada juga yang bertindak melapah lembu itu dan mengambil dagingnya sahaja,” katanya.
Balachander berkata, masalah lembu peliharaan hilang kerap berlaku menjelang musim kenduri yang mana setiap minggu pasti akan ada yang hilang.
“Saya memelihara lebih 100 lembu dan baru-baru ini terdapat seekor dari lembu yang disumpit berjaya melarikan diri ke dalam hutan berdekatan serta tidak mahu pulang sehingga kini kerana ketakutan,” katanya.
Seorang lagi penternak, K Saravanan, 34, berkata, dia kehilangan sembilan ekor lembu dalam tempoh sebulan dipercayai dilakukan penjenayah dari sindiket sama.
“Kini sudah 27 ekor lembu peliharaan saya hilang dalam tempoh dua tahun,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Veterinar Negeri Melaka, Dr Noraini Abd Rahmah ketika dihubungi berkata, pengedaran ubat pelali hanya diberikan oleh pembekal kepada pihak bertauliah sahaja dan bukan kepada orang awam.
“Ia tidak boleh dikeluarkan sesuka hati dan pihak kami sentiasa melakukan pemantauan ke atas binatang peliharaan yang disumpit ubat pelali yang mana ia bergantung kepada saiz haiwan berkenaan.
“Haiwan yang terkena sumpitan ubat pelali yang melebihi dos boleh membawa maut,” katanya.
Pengerusi Persatuan Pegawai Syarak Negeri Melaka, Datuk Abu Khir Jamaludin berkata, ia tidak mendatangkan masalah sekiranya ubat pelali itu digunakan oleh penternak itu sendiri ke atas haiwan ternakannya yang liar.
“Kemudian, haiwan itu perlu disembelih mengikut prosedur dan syarat dalam Islam untuk diagihkan kepada orang ramai.
“Namun, jika haiwan itu disumpit ubat pelali atas tujuan mencuri dan kemudiannya dijual kepada mana-mana pihak, individu yang menjual itu menanggung dosa setiap orang yang memakan daging berkenaan,” katanya.
Abu Khir berkata, pada musim kenduri ketika ini, pembeli perlu menyiasat dari mana haiwan itu diperoleh dan jika datang dari sumber haram, ia perlu dimaklumkan kepada orang lain.
“Jika pembeli sudah mengetahui bahawa lembu atau haiwan yang dijadikan hidangan itu datang dari hasil curi kerana inginkan harga lebih murah, dia juga perlu menanggung dosa setiap orang yang memakan daging berkenaan,” katanya.
http://www.sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/lembu-ternakan-kena-curi-1.12800
No comments:
Post a Comment