Aidiladha: 1,000 ekor lembu diimport dari Thailand
ALOR STAR 13 Dis. – Sebanyak 1,000 ekor lembu import dari Thailand akan dibawa masuk ke negeri ini bagi menampung keperluan permintaan yang dijangka meningkat menjelang sambutan Hari Raya Aidiladha pada 20 Disember ini.Pengarah Jabatan Perkhidmatan Haiwan (JPH) Kedah, Dr. Quaza Nizamuddin Hassan Nizam berkata, pihaknya akan memastikan kesemua lembu yang dibawa masuk itu selamat dan bebas daripada sebarang penyakit.
Katanya, haiwan-haiwan berkenaan akan diberi suntikan vaksin di pintu masuk sempadan sama ada di Rantau Panjang atau Padang Besar supaya bebas daripada jangkitan penyakit kuku dan mulut sebelum boleh disembelih.
“Setakat ini kira-kira 600 ekor lembu import dari Thailand sudah dibawa masuk ke negeri ini. Daging dan lembu yang dibawa masuk juga akan dipastikan selamat,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Dr. Quaza berkata, pihaknya juga akan memastikan semua lembu di premis ternakan diberi suntikan vaksin dalam radius lima kilometer bagi mengelak jangkitan penyakit.
Tambah beliau, bekalan haiwan ternakan lain seperti ayam dan kambing juga dijamin mencukupi bagi menampung keperluan permintaan tinggi perayaan berkenaan.
“Penduduk tidak perlu bimbang bekalan daging tidak mencukupi kerana kita telah mengambil langkah awal untuk mengatasinya,” katanya.
Orang ramai yang ingin melakukan korban pula, katanya, diingatkan agar terlebih dahulu mendaftarkan haiwan yang akan dikorbankan bagi mendapatkan permit sembelihan di JPH daerah masing-masing.
No comments:
Post a Comment